Tujuan kunjungan hormat itu diadakan adalah bagi membuka lembaran baharu dan membincangkan kerjasama strategik dua hala di antara UUM dan SPRM, khususnya melibatkan program pemindahan pengetahuan (knowledge transfer), pemindahan teknologi dan inovasi (innovation & technology transfer), penyelidikan, pensijilan eksekutif, latihan jangka pendek, sederhana dan panjang serta pembangunan nilai dan integriti pelajar di peringkat rendah, menengah dan universiti.
Dato’ Seri Azam Baki menerima kunjungan hormat ini dengan tangan terbuka dan meraikan idea jalinan kerjasama strategik UUM dan SPRM, malah bersedia memberi komitmen penuh.
Perbincangan yang berlangsung selama sejam ini telah digunakan oleh kedua-dua pihak untuk melihat kerjasama strategik yang boleh dibentuk bagi menjayakan aspirasi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu Malaysia dikenali kerana integriti bukannya rasuah.
Kunjungan ini sangat bermakna khususnya kepada Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG), UUM dalam usaha memperkukuhkan kecekapan penyampaian awam dan memupuk tadbir urus baik dalam dalam entiti kerajaan, swasta dan korporat melalui penyelidikan dan pembangunan modul pendidikan merentasi pelbagai tahap. Beberapa bentuk kerjasama yang bersifat jangka panjang telah dikemukakan dan disambut baik Dato’ Seri Azam Baki.
Hasil daripada sesi kunjungan hormat tersebut, Prof. Dr. Haim Hilman berkata, ARICG, UUM akan menyediakan beberapa kertas kerja cadangan kepada pihak SPRM dan pada masa sama menjadi sekretariat dalam menguruskan kerjasama ini
Menurutnya, penyelidikan dan projek kerjasama ini akan melibatkan pusat kecemerlangan lain dan pusat pengajian mengikut bidang tujahan masing-masing.
Kunjungan hormat itu turut disertai Pengarah, University Centre of Excellent (UCoE), ARICG, Prof. Dr. Kamarun Nisham Taufil Mohd; Felo Penyelidik, ARICG, Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Dato’ Razim Mohd Noor.

