Penyampaian Mock Cheque Bantuan Mahasiswa Anak Kedah itu disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian kepada Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani di Balai Tamu, UUM, semalam.
Dr. Megat berkata, pemberian bantuan yang bernilai RM103,800 kepada anak Kedah yang belajar di UUM sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam meneruskan pengajian.
“Waktu saya belajar dulu, ramai yang makan mi segera dan air paip sebab orang susah jadi kita sentiasa mencari jalan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.
“Sebagai Alumni UUM saya tidak pernah lupa moto ilmu, budi, bakti, dulu saya dapat ilmu, sekarang ini fasa untuk saya mencari jalan bagaimana berbakti semula di UUM dan terus menerus memberi sumbangan kepada anak Kedah,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Mahasiswa Anak Kedah dan Sumbangan Pembelian Unit Mesin Jahit bagi penghasilan PPE Gown.
Sementara itu, Naib Canselor berkata, UUM sentiasa mengambil langkah proaktif untuk membantu warga mahasiswa terutama dari kelompok B40 dalam memastikan para pelajar dapat menjalani proses pengajian dengan baik dan kebajikan mereka sentiasa terjaga.
Jelasnya, seramai 3,225 pelajar Sarjana Muda dan 15 pelajar pascasiswazah yang melanjutkan pengajian di Universiti ini merupakan anak kelahiran Kedah.
“Pada hari ini pihak Pejabat Pembangunan Negeri Kedah tampil ke hadapan dengan bantuan yang sangat besar nilai dan maknanya dalam usaha untuk memastikan kelangsungan pengajian mahasiswa anak Kedah di UUM,” ujarnya.
Menurutnya, universiti bergerak ke arah digital termasuk pelaksanaan 'remote learning' bagi meneruskan sesi pembelajaran dan memastikan pelajar menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.
“Saya berharap universiti akan bergerak dengan lebih pantas untuk menubuhkan pusat teknologi, matematik dan sains selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadi negeri maju dan masyarakat dapat menikmati ekonomi yang lebih baik.
Ujarnya, UUM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pertubuhan ‘Food Bank Malaysia’, berjaya membantu golongan mahasiswa dari aspek kebajikan sosial.
“Pada September 2019, UUM secara rasminya menjadi rakan strategik kepada KPDNHEP dan beberapa syarikat pembekalan makanan dan minuman bagi melancarkan inisiatif ‘Food Bank UUM’ untuk memastikan tiada pelajar yang kelaparan,” kongsinya.
Selain itu katanya, bantuan RM30,000 daripada Persatuan dan Pusat Alumni UUM adalah untuk pembelian 10 unit Mesin Jahit bagi Penghasilan PPE Gown kepada petugas barisan hadapan untuk membantu membendung penularan wabak COVID-19.
“Kita menyahut titah Duli Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah yang ingin melihat UUM peka dengan masyarakat untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
“COVID -19 belum berakhir, ramai yang hilang pekerjaan saya harap dengan bantuan yang disalurkan akan dapat membantu masyarakat menjana pendapatan serta ‘survive’ sehingga hujung tahun ini,” tambahnya

